Sam Luah Rasa Terkilan Dengan Pegawai LHDN.


Beberapa hari sebelum ini media sosial sibuk memperkatakan tentang notis muflis yang di siarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang mana memaparkan data peribadi milik Shahiezy Sam.

Sam mengakui terkejut dengan penyiaran notis itu kerana alasan pegawai LHDN mereka tidak dapat menghubungi beliau. Pelik kerana menurut Sam sebelum ini mereka menghubunginya melalui email.

“Saya bukan penjenayah nak larikan diri. Membayar cukai menjadi tanggungjawab saya, malah ada rekod mengenainya. Saya rasa seperti dianiaya dan disabotaj.

“Tiada istilah mereka tak boleh cari saya. Saya bukan kerja pejabat dari jam 9 pagi sampai 5 petang. Saya berlakon tak tentu masa dan ada hari saya tiada di rumah,” katanya.



Sam turut kecewa kerana pihak tersebut tidak peka, mendedahkan butiran peribadinya seperti nombor kad pengenalan dan alamat rumahnya.

“Saya tak pasti apa motif mereka. Mungkin juga ini cara mereka menggunakan orang berpengaruh seperti saya untuk menyedarkan masyarakat supaya membayar cukai.

“Sejak mula berlakon lagi, saya sudah melaksanakannya. Tak perlu risau. Kali terakhir mereka datang ke rumah pada 9 Mei lalu ketika anak sulung dilahirkan dan saya berada di hospital. Saya umumkan hal itu di laman sosial.

“Dua tiga minggu sebelum notis itu dikeluarkan, beberapa wakil LHDN datang ke rumah dan menyerahkan borang CP 500. Kenapa mereka tak maklumkan hal berbangkit? Kenapa pilih guna surat khabar pula?” katanya.

Sam turut memberitahu yang agen menguruskan cukainya sedang cuba mendapatkan penjelasan sebenar berikutan kekecohan ini.

“Hingga sekarang saya masih tidak tahu berapa amaun yang perlu dibayar kerana sedang membuat penilaian semula. Sebelum ini, saya bayar cukai tanpa membuat pengecualian. Salahkah ambil masa kali ini untuk membuat tuntutan itu?,” katanya lagi.

sumber :mynewshub.cc











No comments